Refleksi

    Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya berjaya menyiapkan tugasan ini.  Saya telah menerima tugasan ini oleh penyelaras subjek iaitu Encik Abdul Latib Abd Rahman.  Selain beliau, ada seorang lagi pensyarah pembimbing bagi subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer iaitu Encik Nor Azam Ariffin.

Secara umumnya kursus BMM2064  adalah kursus yang mendedahkan kepada guru pelatih mengenai kegunaan dan fungsi teknologi komputer yang dapat membantu pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Seperti yang kita sedia maklum teknologi komputer merupakan satu teknologi yang sangat menarik untuk dipelajari dan dikuasai. Hal ini kerana, apabila kita menguasai teknologi komputer sepenuhnya kita akan dapat menghasilkan sesuatu bahan yang menarik dan berguna untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kita khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dalam tugasan projek ini, saya  dikehendaki untuk menyempurnakan dua projek berkaitan dengan pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran dan penilaian Bahasa Melayu secara individu dan kumpulan.  Tugasan ini tidak akan tercapai matlamatnya tanpa dibimbing oleh pensyarah-pensyarah yang hebat bagi subjek ini.  Banyak ilmu dan input yang telah diberikan oleh semua pensyarah yang terlibat.

      E-Portfolio atau portfolio elektronik  merupakan satu bentuk portfolio yang dihasilkan menggunakan teknologi digital melalui atas talian, iaitu berasaskan web. Tugasan BMM2064 Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer menghendaki saya membina satu e-portfolio dengan menggunakan Webnode .  E-porfolio ini perlulah berkaitan dengan kursus BMM2064 yang telah saya pelajari.

Sewaktu menyiapkan tugasan ini terlalu banyak kekangan dan rintangan yang saya lalui.  Masalah yang paling besar ialah apabila saya kurang mahir dalam bidang komputer.  Hambatan tugas sebagai seorang guru menguji kesabaran saya untuk menyiapkan tugasan ini.    Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk menyiapkan tugasan ini.  Alah bisa tegal biasa.  Berkat kesabaran, dorongan dan bantuan dari pelbagai pihak terutama kawan-kawan, saya berjaya menyiapkan tugasan ini

Bagi tugasan kedua  pula, saya diminta membuat tugasan secara berkumpulan.  Saya berterima kasih kepada rakan saya iaitu Nur Afiqah Bahiyah  yang membantu bersama-sama melaksanakan tugasan ini. Walaupun jarak memisahkan kami, kami menggunakan pelbagai kaedah bagi menyiapkan tugasan ini.  Bagi tugasan kumpulan kami diminta membina satu bahan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu (koswer) untuk satu topik atau kemahiran .

     Melalui tugasan subjek  ini juga saya dapat belajar tentang ilmu ICT khususnya dalam bidang penggunaan grafik dan power point.. Pastinya dengan kemahiran yang ada ini, dapat membantu saya melaksanakan tugasan yang diberikan pada masa akan datang.  Melalui tugasan ini, saya mula sedar banyak lagi ilmu bahasa Melayu yang saya perlu pelajari terutama untuk mengajar pelajar-pelajar saya nanti.

    Penggunaan komputer dalam PDP Bahasa Melayu banyak memberi kesan yang baik kepada murid. Antaranya ialah dari segi sikap murid terhadap penguasaan bahasa. Melalui PDP berbantukan komputer ini boleh mempengaruhi sikap pencapaian murid terhadap pembelajaran. Misalnya, pembelajaran melalui internet mampu mengubah sikap murid yang pasif kepada murid yang berdikari, bermatlamat jauh, bertanggungjawab dan sebagainya. Hal in dapat dilihat sekiranya terdapat murid yang sering bersikap pasif dengan tidak bertindak balas dengan penyampaian pengajaran guru boleh dibantu dengan bantuan komputer ini. Hal ini demikian kerana murid mempunyai sifat ingin tahu yang begitu mendalam yang membuatkan mereka ingin mencuba perkara-perkara baharu termasuklah penggunaan komputer dalam melakukan tugas yang diberi.

    Secara keseluruhannya, saya tetap berpuas hati kerana telah menyiapkan tugasan ini mengikut kriteria yang ditetapkan dalam tugasan yang diberikan dan dapat menambah pengetahuan berkaitan tugasan yang dikaji.  Oleh hal yang demikian, saya amat berharap agar dapat mengaplikasikan segala pengalaman mahupun ilmu yang diperolehi untuk diaplikasikan ke tugasan lain yang akan datang selaras dengan profesion keguruan.  Saya juga berharap agar kerja kursus saya ini dapat memenuhi kehendak pensyarah kami.

Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati.